[VIDEO] Pas parti ekstrem bawa ideologi sekular - Khalid

KLANG – Pas didakwa sebagai sebuah parti ekstrem yang membawa ideologi sekular kerana menghalalkan budaya fitnah.

Ketua Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad mendakwa, ini kerana fatwa terbaharu Pas mengatakan bahawa sekular itu lebih besar dosa daripada fitnah, sebenarnya memperlekehkan kesalahan fitnah itu.

“Sekarang ini apa yang kita lihat Pas itu semakin jelas sebagai parti yang ekstrem yang membawa fatwa-fatwa yang songsang, saya merasakan semakin hari semakin nampak warna sebenar Pas.

“Bila pimpinan Pas diserang teruk kerana membawa budaya fitnah, mereka (membidas) mengeluarkan pula fatwa bahawa sekular itu lebih besar dosa daripada fitnah, maknanya memperlekehkan kesalahan fitnah itu.

“Dan tanpa disedari dia sebenarnya mengamalkan politik sekular, apabila kamu memfitnah bererti kamu tak takut dosa dan bila kamu tak takut dosa dalam politik kamu, bererti kamu mengamalkan politik yang sekular dan kamu sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai kemenangan,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara di Hotel KSL Esplanade, Klang pada Sabtu.

**media[2982157]**

Tambah Khalid, walaupun fatwanya macam hendak menolak sekular tetapi dengan kata-kara itu, jelas Pas membawa budaya politik sekular dalam erti kata menghalalkan semua amalan yang dilakukan demi mendapat pengaruh politik dan sokongan.

“Oleh kerana itu kita rasa masyarakat Melayu ini akan semakin menolak Pas dan bagi masyarakat Melayu yang inginkan politik yang berasaskan agama, yang dipandu agama maka Parti Amanah Negara adalah pilihan yang terbaik.

“Dan saya yakin bahawa sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sokongan kepada Parti Amanah Negara akan semakin kukuh kerana semakin jelas pendirian Pas yang songsang dan memperalatkan agama demi kepentingan politik,” ujarnya,

Tambahnya, bukti Amanah menjadi pilihan orang Melayu turut disokong berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

“Undi Melayu dahulunya memang berpaksikan kepada UMNO dan Pas. Pas membawa satu pendirian yang lebih wasatiah khususnya pada zaman Allahyarham Mursyidul Am Pas, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi bukan sekarang ini," katanya